Mengambil Penilaian Hukum Hadits al Albani

,


Oleh : Ustaz Moh. Hafidz Bin Soroni


Barangkali sudah menjadi ketetapan, orang yang ingin membicarakan kajian hadits pada masa ini tidak dapat lari dari menyebut nama ‘al-Albani dan membicarakan hasil-hasil penilaian haditsnya. Ini mungkin adalah sebab dari penyebaran karya-karya beliau secara besar-besaran oleh pihak yang mendukung pemikirannya. Malah kebanyakannya dapat diperoleh secara percuma.


Apa yang dikhawatirkan ialah terjadinya 'kemandulan’ dalam penilaian hadits. Sehingga hadits yang telah dinilai oleh al-Albani saja yang harus diterima dan dipegang kuat-kuat, walaupun sarjana-sarjana besar hadits menilai sebaliknya. Maka penilaian at-Tirmizi, atau ad-Daraqutni, atau al-Baihaqi, atau al-’Iraqi, atau adz-Dzahabi, atau Ibn Hajar, atau al-Bushiri, atau al-Haytami, atau selain mereka sudah tidak ada nilai apa-apa, jika al-Albani sudah memberi hukum sebaliknya.


Apakah sampai begitu?

Syeikh Ahmad Kamil Darwisy, murid al-Hafiz ‘Abdullah al-Ghumari telah meneliti kira-kira 55,446 buah hadits di dalam kajiannya mengenai manhaj Syeikh al-Albani dalam memberi penilaian terhadap hadits. Beliau telah menyatakan pandangannya yang saya rumuskan seperti berikut;


1. al-Albani telah meneliti dan memberi penilaian ke atas sekitar 55,000 buah hadits termasuk hadits yang berulang-ulang, dan telah mendha’ifkan kurang lebih 16,000 buah hadits darinya. Jumlah ini meliputi lebih dari 50 buah karya yang telah diterbitkan.


2. Beliau telah menukilkan dan mengikuti kira-kira 3,000 (tepatnya 3,088) hukum hadits dari at-Tirmidzi, dan menyanggah pula lebih dari 700 hukum hadits (antara 766 - 781) yang telah dinyatakan oleh al-Tirmidzi.


3. Beliau banyak menukilkan dan memetik saja hukum hadits yang diberikan oleh Syeikh Habib al-Rahman al-A’zami tanpa komentar apapun yang berjumlah hampir 800 buah hadits (tepatnya 782).


4. Dari jumlah kira-kira 55,000 hadits, sekitar 8,000 (tepatnya 8,266) hadits dalam Sahih al-Jami’ al-Saghir wa Ziyadatih adalah yang paling kurang kesalahannya, yaitu kurang dari 35 hadits. Di dalamnya, beliau hanya menurut sekitar 2,000 hukum hadits al-Tirmizi dan sekitar 800 hukum hadis Habib al-Rahman al-A’zami.


5. Sisa dari 55,000 hadits, iaitu kira-kira 47,000 hadits mengandungi kelemahan dan kemudaratan. Maka perlu berhati-hati dengan hukum hadits yang ada di dalam kitab-kitab beliau, selain dari kitab Sahih al-Jami’ al-Saghir wa Ziyadatih dan Da’if al-Jami’ al-Saghir wa Ziyadatih. Al-Albani sendiri banyak merujukkan hukum hadits kepada kedua kitab ini, yaitu sebanyak 15,758 hukum hadits telah dipetik darinya. Namun sebanyak 107 hukum hadits darinya dibantah oleh al-Hafiz ‘Abdullah al-Ghumari. Yang mana sebanyak 14,527 buah hadis darinya adalah mengikut hukum para muhaddithin.


6. Lebih afdal bagi seorang penuntut ilmu hadits mempelajari Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Muwatta’ Malik, Musnad Ahmad, al-Mukhtarah, al-Kutub al-Sittah dan seumpamanya berbanding mempelajari hadis dari kitab-kitab al-Albani.


7. al-Albani telah memberi dua atau beberapa hukum yang berbeda pada hadits yang sama, yang berjumlah sebanyak 4,013 hukum hadits. Ini menunjukkan seolah-olah beliau lebih mementingkan kuantiti, dan bukannya kualiti.


8. Berikut adalah jadual kekerapan hukum hadis yang disebut oleh al-Albani;


Derajat hadis                                       Jumlah

موضوع                                                    3,421

منكر                                                        785

شاذ                                                            47

باطل                                                        212

ضعيف                                                14,587

صحيح وحسن بنوعيه                                34,512

غريب                                                    1,384

Jumlah                                     54,948

* Data angka ini menurut kajian Syeikh Ahmad Darwisy





Perubahan Hukum Hadits al-Albani

Sebagai tambahan kepada kajian Syeikh Ahmad Darwisy di atas, Syeikh al-Albani dikatakan telah menarik balik semula sebagian penilaian haditsnya (tashih dan tad‘if) yang diberikan kepada sebagian hadits. Jumlahnya adalah kira-kira 222 buah hadits yang telah dihimpunkan oleh Muhammad Hasan al-Syaykh dalam
kitab (تراجع العلامة الألباني فيما نص عليه تصحيحا و تضعيفا), terbitan Maktabah al-Ma‘arif: Riyadh, 2002.


Menurut Ustaz Adlan Abd. Aziz dalam satu tulisannya: "Di antara orang-orang yang berusaha untuk memberikan maklumat tentang hadits-hadits yang telah diubah penilaian terhadapnya oleh al-Albani ialah:

Pertama, buku yang ditulis oleh Abu Malik ‘Audah Ibn Hasan yang dicetak oleh Dar al-Nafa'is, Jordan (setahu saya, ia adalah di bawah selain salah seorang murid al-Albani iaitu Dr. Umar al-Asyqar) pada tahun 2003. Ia mengumpulkan 500 hadith yang telah dinilai kembali hukumnya (sahih atau dhaif dan sebagainya) oleh al-Albani dan beliau mengubah pendapat yang lama kepada yang baru. Di dalam buku ini hanya ada sebanyak 250 hadits karena buku ini adalah bagian pertama. Saya belum menemui bagian keduanya sampai saat ini.

Buku kedua yang mengumpulkan perubahan pendapat al-Albani ialah buku hasil karya Muhammad Kamal al-Suyuthi, cetakan Dar Ibn Rajab, Mesir pada tahun 2004. Ia mengumpulkan sebanyak 307 hadits".

Kata beliau lagi: "Kedua buku ini amat penting bagi mereka yang seringkali membuat rujukan dengan menggunakan buku-buku al-Albani. Janganlah kita salah dalam menggunakan pandangan beliau yang lama atau salah anggap bahwa telah terjadi pertentangan dalam penilaian al-Albani. Apa yang sebenarnya terjadi ialah beliau menarik balik pendapatnya setelah beliau bertemu dengan pendapat yang lebih tepat". - Sumber


Mengakui kesilapan memang akhlak yang dipuji. Namun dalam soal penilaian hadits ini, apalagi jumlahnya mencapai ratusan hadits, menyebabkan kurangnya kepercayaan terhadap keseluruhan atau sebagian besar penilaian seseorang itu. Hal ini pernah berlaku kepada al-Hakim al-Naisaburi dan Ibn al-Jawzi -
رحمهما الله. Malah hukum-hukum baru al-Albani itu pun masih dapat dinilai dan diperbincangkan lagi. Daripada salah memilih penilaian hadits al-Albani yang terakhir, lebih baik tidak berpegang dengannya, atau mesti membandingkannya dengan pakar-pakar hadits yang jauh lebih hebat.


Ulama yang mengkritik Syeikh al-Albani dan karya-karya mereka:


Berikut pula disenaraikan para ilmuwan dari berbagai aliran pemikiran – termasuk aliran Salafiyyah sendiri - yang mengkritik Syeikh al-Albani dari perbedaan pandangan terhadap hukum hadits. Mereka ialah;


Syeikh Isma’il bin Muhammad al-Ansari, yang menyusun kitab
(إباحة التحلي بالذهب المحلق للنساء والردّ على الألباني في تحريمه), (الانتصارُ لشيخ الإسلام محمد بن عبد الوهاب بالردِّ على مجانبة الألباني فيه الصواب), (تصحيحُ حديث صلاة التراويح عشرين ركعة والردّ على الألباني في تضعيفه) tentang kesahihan tarawih 20 rakaat dan penolakan terhadap al-Albani yang mendaifkannya, (تعقباتٌ على: سلسلة الأحاديث الضعيفة والموضوعة للألباني) dan (نقدُ تعليقات الألباني على شرح الطحاوية) sanggahan terhadap al-Albani atas ulasannya pada Syarah at-Tahawiyyah.

Syeikh ’Abdullah bin Soleh al-’Ubaylan, yang menulis
kitab (التعقباتُ المليحة على: (السلسلة الصحيحة)) mengkritik al-Albani yang menyandarkan hadis dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah kepada selain al-Sahihain sedangkan ia ada di dalam kedua-duanya atau salah satu darinya, dan kitab (إتمام الحاجة إلى صحيح سنن ابن ماجه) mengkritik al-Albani yang menyandarkan hadits dalam Sahih Sunan Ibn Majah kepada selain al-Sahihain sedangkan ia ada di dalam kedua-duanya atau salah satu darinya.

Syeikh Ramadhan Mahmud ’Isa, yang menulis kitab
(الأحاديثُ الضعيفة في سلسلة الأحاديث الصحيحة) mengkritik secara khusus jilid pertama kitab Silsilah al-Ahadith al-Sahihah.

Syeikh Khalid bin Ahmad al-Mu’azzin, yang menulis kitab (
إقامةُ البرهان على ضعف حديث: استعينوا على إنجاح الحوائج بالكتمان. وفيه الرد على العلامة الشيخ محمد ناصر الدين الألباني).

Syeikh ‘Abd al-Mun’im Mustafa Halimah Abu Basir, yang menulis kitab (
حكم تارك الصلاة), dan (الانتصارُ لأهل التوحيد والرد على من جادل عن الطواغيت ملاحظات وردود على شريط: (الكفر كفران) للشيخ محمد ناصر الدين الألباني).

Syeikh Badr al-Din Hasan Diyab al-Dimasyqi, yang menyusun kitab (
أنوارُ المصابيح على ظلمات الألباني في صلاة التراويح).

Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin ‘Abdullah bin Baz, bekas Mufti Saudi yang menyusun risalah (
أينَ يضع المصلي يده في الصلاة بعد الرفع من الركوع) yang dicetak di bawah tajuk (ثلاث رسائل في الصلاة).

Syeikh ‘Adil bin ‘Abdullah al-Su’aydan, yang menulis kitab
(بذلُ الجهد بتضعيف حديثي السوق والزهد).

Syeikh Soleh bin ‘Abd al-‘Aziz Al al-Syaykh, yang menyusun kitab (
التكميلُ لما فاتَ تخريجه من: (إرواء الغليل)).

Syeikh ‘Abdullah bin Muhammad al-Duwaisy, yang menyusun kitab (
تنبيهُ القارئ [على] تقوية ما ضعفه الألباني) dan (تنبيهُ القارئ لتضعيف ما قواه الألباني).

Syeikh Hamud bin ‘Abdullah al-Tuwaijiri, yang menyusun kitab (
التنبيهاتُ على رسالة الألباني في الصلاة).

Syeikh Bakr bin ‘Abdullah Abu Zaid, yang menyusun risalah (
جزءٌ في كيفية النهوض في الصلاة وضعف حديث العجن).

Syeikh Mamduh Jabir ‘Abd al-Salam, yang menyusun kitab (
حول مسألة تارك الصلاة) antara kandungannya mengkritik risalah al-Albani yang berjudul (حُكم تارِكِ الصَّلاةِ).

Syeikh ‘Abd al-Qadir bin Habibullah al-Sindi, yang menulis kitab (
رَفْعُ الْجُنَّةِ أمام: (جلباب المرأة المسلمة في الكتاب والسنة) mengkritik kitab al-Albani yang berjudul (جلباب المرأة المسلمة).

Dr. Ibrahim al-Subayhi, yang menulis risalah (
عددُ صلاة التراويح).

Syeikh Mustafa al-‘Adawi, yang menulis kitab (
المؤنقُ في إباحة تحلي النساء بالذهب المحلق وغير المحلق) dan (نظراتٌ في: (السلسلة الصحيحة) للشيخ محمد ناصر الدين الألباني) menganalisa 100 hadis pertama dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, yang disusun bersama-sama dengan Syeikh Khalid Ahmad al-Mu’azzin.

Syeikh ‘Abdullah bin Mani‘ al-‘Utaybi, yang menulis kitab (
ملحوظاتٌ على كتاب: (الصلاة) للعلامة محمد ناصر الدين الألباني).

Syeikh Fahd bin ‘Abdullah al-Sunaid, yang menyanjung al-Albani tetapi telah menulis kitab (
الإعلامُ في إيضاح ما خفي على الإمام).

Syeikh Ahmad ‘Abd al-Ghafur ‘Attar, yang menulis kitab (
ويلك آمن، تفنيد بعض أباطيل ناصر [الدين] الألباني).

Syeikh Dahhan Abu Salman, yang menulis kitab “al-Wahmu wat-Takhlit ‘ind al-Albani fil Bai’ bit-Taqsit” tentang keraguan dan kekeliruan al-Albani dalam jual beli secara ansuran.

Habib ‘Ali bin Muhammad bin Yahya al-’Alawi, yang menulis kitab “Hidayatul Mutakhabbitin Naqd Muhammad Nasir al-Din”.

Syeikh Muhammad ‘Awwamah, yang menulis kitab “Athar al-Hadith al-Syarif fi Ikhtilaf al-A’immah al-Fuqaha’”.

Dr. Salahuddin bin Ahmad al-Idlibi, yang menulis kitab (
كشف المعلول مما سمي بسلسلة الأحاديث الصحيحة).

Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah, yang menyusun kitab (
خطبةُ الحاجة ليست سنة في مستهل الكتب والمؤلفات) dan (كلماتٌ في كشف أباطيل وافتراءات ) penolakan terhadap kebatilan dan tohmahan al-Albani dan sahabatnya Zuhair al-Syawisy serta pendukung mereka.

Syeikh ‘Abdullah al-Harari al-Habasyi, yang menyusun kitab (
التعقّبُ الحثيث على من طعن فيما صحَّ من الحديث) dan lampirannya (نصرةُ: (التعقب الحثيث) على من طعن فيما صح من الحديث).

Syeikh As’ad Salim Tayyim, yang menyusun kitab (
بيانُ أوهام الألباني في تحقيقه لكتاب فضل الصلاة على النبي -صلى الله عليه وسلم- للقاضي إسماعيل بن إسحاق الأزدي) dan (تخريجُ حديث أوسٍ الثقفي في فضل الجمعة وبيان عِلّتِه).

Syeikh Muhaddith ‘Abdul ‘Aziz bin Muhammad bin as-Siddiq al-Ghumari yang menulis risalah (
بيانُ نكث الناكث المتعدي بتضعيف الحارث) dan (الباحث عن علل الطعن في الحارث).

Syeikh Dr. Mahmud Sa’id Mamduh, muhaddith Mesir yang menyusun kitab (
التعريفُ بأوهام من قسم (السنن) إلى صحيح وضعيف) penjelasan tentang kekeliruan al-Albani yang memisahkan kitab-kitab Sunan kepada sahih dan da’if, yang terdiri dari 6 jilid, (التعقيب اللطيف والانتصار لكتاب التعريف), (تنبيهُ المسلم إلى تعدي الألباني على: (صحيح مسلم) dan juga kitab (وصولُ التهاني في إثبات سُنِّيَّة السُّبْحة والرَّدِّ على الألباني).

al-Hafiz Syeikh ’Abdullah bin Muhammad bin al-Siddiq al-Ghumari, muhaddith besar Maghribi yang menyusun kitab (
القولُ المقنع في الرد على الألباني المبتدع) mengkritik sebahagian tahkik al-Albani terhadap kitab (بداية السُّول في تفضيل الرسول صلى الله عليه وسلم للعز بن عبد السلام), dan risalah kecil (إرغامُ المبتدع الغبي بجواز التَّوسّل بالنبي في الردِّ على الألباني الوبي) yang judul asalnya ialah (جزءٌ فيه الردّ على الألباني وبيان بعض تدليسه وخيانته). al-Hafiz ’Abdullah al-Ghumari tidak pernah mengkritik orang lain secara kasar kecuali terhadap al-Albani.

Syeikh Habib al-Rahman al-A’zami, muhaddih besar India yang menyusun kitab (
الألباني شذوذه وأخطاؤه) tentang penyimpangan dan kesalahan al-Albani dalam 4 juzuk. Namun cetakan awalnya menggunakan nama samaran, iaitu ‘Arsyad al-Salafi’.

Sayyid Hasan bin ’Ali al-Saqqaf, orang yang paling banyak mengkritik al-Albani secara keras sebagai refleksi dari gaya bahasa al-Albani sendiri. Beliau telah menyusun banyak kitab dalam mengkritiknya, iaitu (
إبطال التصحيح الواهن لحديث العاجن), (وهم سيء البخت الذي حرَّم صيام السبت), (القول المبتوت في صحة صلاة الصبح بالقنوت), (اللجيف الذعاف للمتلاعب بأحكام الاعتكاف) menolak dakwaan al-Albani bahwa tidak harus beriktikaf kecuali dalam tiga masjid sahaja, (احتجاج الخائب بعبارة من ادَّعى الإجماع فهو كاذب), (قاموس شتائم الألباني وألفاظه المنكرة في حق علماء الأمة وفضلائها وغيرهم), (الشهاب الحارق المنقض على إيقاف المتناقض المارق), (الأدلةُ الجليّة لسنة الجمعة القبلية), (إعلام المبيح الخائض بتحريم القرآن على الجنب والحائض), (البشارةُ والإتحاف فيما بين ابن تيمية والألباني في العقيدة من الاختلاف), (تحذير العبد الأوّاه من تحريك الإصبع في الصلاة), (تناقضاتُ الألباني الواضحات فيما وقع له في تصحيح الأحاديث وتضعيفها من أخطاء وغلطات), (تنقيح الفهوم العالية بما ثبتَ وما لمْ يثبتْ من حديث الجارية), (الشماطيط فيما يهذي به الألباني في مقدماته من تخبطات وتخليط) menyanggah isi mukadimah dalam juzuk pertama kitab Silsilah al-Ahadith al-Da’ifah, (حاشية على إرغام المبتدع للغماري) dan (صحيح صفة صلاة النبي صلى الله عليه وآله وسلَّم). Sebahagian orang melihat kritikan Sayyid Hasan ini seolah-olah agak berbentuk peribadi, meskipun fakta-faktanya boleh diambil kira.

Demikianlah sebahagian ilmuwan yang telah mengkritik, menolak pendapat atau membetulkan kesilapan al-Albani.


Tidak dinafikan banyak kitab-kitab yang telah dikarang oleh peminat-peminat Syeikh al-Albani bagi membela dan mempertahankan beliau. Namun, kebanyakan dari kitab-kitab tersebut agak lemah dari segi hujah-hujah yang dikemukakan, dan tidak dapat mematahkan hujah-hujah kritikan dengan cara ilmiah. Ia hanya sekadar suatu sanggahan dan bantahan bagi menonjolkan kehebatan al-Albani. Sedangkan pada hakikatnya ia bukanlah begitu 'kebal’.


Oleh kerana hasil-hasil karya beliau sudah tersebar dengan begitu banyak dan meluas dalam pelbagai bahasa, sama ada dapat diperolehi dengan kos ataupun secara percuma, maka atas sebab itulah perlu ditulis sesuatu mengenainya kerana ia melibatkan hadis-hadis Junjungan Nabi . Bagaimanapun, jika ada yang tidak mahu menerima, maka itu terpulang pada dirinya. Asalkan jangan menyalahkan dan menyesatkan orang lain dalam soal-soal khilafiyyah hanya kerana perbezaan hukum hadis.


عفا اللهُ عنه ورَحِمَهُ.

Wallahu a'lam



APAKAH KAJIAN AL-ALBANI PERLU DITERIMA?

Oleh : Adlan bin ‘Abdul ‘Aziz



Bagi siapa saja yang membaca buku-buku yang berkaitan dengan hadits dan mengambil ilmu tentang persoalan hadits-hadits sahih serta dhaif, pasti akan mengenali nama seorang pengkaji hadits terkemuka – Muhammad Nasiruddin al-Albani. Beliau merupakan seorang pengkaji hadith yang telah meninggal pada tahun 1999.

Persoalan yang ingin dijawab di sini ialah – adakah segala hasil kajian al-Albani perlu diterima? Bagaimanakah seharusnya kita berinteraksi dengan hasil karya al-Albani? Adakah hasil kajian beliau tepat? Adakah hasil kajian beliau benar-benar diakui oleh para pengkaji hadits yang lain? Bagi mereka yang sering membaca buku-buku al-Albani mungkin ada yang menjawab – ya, memang kajian beliau perlu diterima karena kajiannya adalah ilmiah. Sebahagian yang lain pula mungkin menyatakan – kita perlu kaji dahulu sebelum menerima. Tetapi faktanya, mereka tidak mengkaji dan terus menerima karena tidak mau lagi mengkaji hasil pengkaji lain yang tidak setanding dengan al-Albani. Bagi mereka yang kurang mengenali al-Albani pula, mereka mungkin akan menolak semua hasil kajian al-Albani dengan alasan – siapa al-Albani? Masih banyak muhaddith lain termasuk muhaddith dahulu yang lebih hebat daripada al-Albani. Dan begitulah respon yang mungkin kita dengar dari manusia terhadap kajian al-Albani dan persoalan sejauh mana kita menerimanya.

Pada hakikatnya, untuk menjawab persoalan-persoalan tersebut (adakah kita perlu menerima kajian al-Albani dan lain-lain lagi) yang sememangnya saling berkaitan, beberapa perkara perlu diberikan perhatian. Pertama, jawapan yang ingin diberikan perlu bebas daripada dua unsur negatif yang wujud dalam kalangan mereka yang mengikuti perkembangan dan penulisan al-Albani. Dua unsur negatif itu ialah:

a) Ta’ashub terhadap al-Albani sehingga menganggap tidak ada siapapun yang dapat menandingi al-Albani dalam semua keadaan.

b) Kebencian tidak berasas terhadap al-Albani sehingga menganggap al-Albani langsung tidak layak untuk menulis buku dalam bidang hadits bahkan menganggap al-Albani berguru dengan syaitan!


Untuk menjawab persoalan ini juga, kita perlu bukti dan hujah yang kuat baik mendukung atau menolak al-Albani dan hasil kajiannya. Begitu juga kita hendaklah melihat bidang kajian hadits ini secara meluas bermula daripada ulama terdahulu sehingga ulama di zaman moden ini. Tidak lupa juga, kita perlu menyadari tentang adanya pengkaji-pengkaji hadits lain yang hidup pada zaman ini agar hasil kerja mereka dapat dibandingkan dengan hasil kerja al-Albani.

Berdasarkan pembacaan dan perbincangan, saya telah membuat beberapa kesimpulan peribadi berkaitan dengan al-Albani dan hasil kajiannya. Semoga apa yang saya tuliskan ini akan menjadi sesuatu yang bermanfaat terhadap para pembaca terutama dalam usaha untuk membina metodologi dan cara berfikir khususnya berkaitan bidang hadits. Kalau salah, tolong betulkan.

1- Al-Albani adalah seorang pengkaji yang layak untuk menyelami kajian hadits berdasarkan kemampuan beliau menggunakan teori Mustholah al-Hadith dalam setiap kajiannya. Lagipula, tidak ada satu halangan untuk siapapun menyelami bidang ini asalkan kajiannya mempunyai nilai akademik. Ini dapat dilihat dengan jelas dalam buku-bukunya yang mempunyai uraian panjang lebar seperti Irwa’ al-Ghalil dan juga kedua Silsilah (al-Sahihah dan al-Dhaifah). Kemampuan al-Albani mendatangkan hujah ketika mensahihkan atau mendhaifkan hadits jelas terlihat pada uraiannya untuk setiap hadits. Setelah dibandingkan pula dengan rujukan yang beliau gunakan, terbukti tidak ada penyelewengan dalam proses penukilan fakta ke dalam buku-bukunya.

2- Tidak semestinya kita menerima segala hasil kajian al-Albani. Sekiranya kita menerima segala kajian beliau tanpa soal, ini bermakna beliau adalah seorang yang ma’sum atau tidak pernah melakukan kesalahan! Sudah pasti terdapat kelemahan pada diri beliau sebagaimana beliau akui dalam salah satu pendahululan Silsilah al-Sahihah. Ini bermakna, kita perlu mengambil kemungkinan bahwa di sana terdapat kesalahan dalam hasil kajian beliau baik sedikit atau banyak. Namun, berdasarkan pembacaan dan juga kajian, saya tidak berani menyatakan bahwa kesalahannya adalah banyak. Malah mereka yang tidak mendukung sistem kajian beliau juga tidak pernah menyatakan bahwa kesalahan al-Albani adalah banyak. Maka adalah penting untuk kita meletakkan di dalam diri kita bahwa al-Albani adalah manusia biasa yang berkemungkinan melakukan kesalahan dalam kajian beliau.

3- Kemasyhuran al-Albani sebenarnya dibantu oleh beberapa faktor seperti : Kerajinannya dalam menghasilkan banyak buku, keberaniannya dalam mengetengahkan sesuatu yang baru dan berlainan daripada pendapat umum, dukungan daripada mereka yang mengenali beliau, pengakuan yang beliau peroleh daripada ulama sezaman dengannya, kekuatan hujah beliau ketika berhujah dengan mereka yang tidak menyokongnya, buku-buku yang beliau kaji adalah buku-buku yang penting, hadith-hadith yang beliau kaji adalah hadith-hadith yang jarang dikaji oleh orang lain secara panjang lebar dan sebagainya. Tidak dinafikan juga bahwa popularitasnya juga adalah sebagian daripada kemuliaan yang dikurniakan Allah SWT kepada beliau.

4- Sekiranya al-Albani mendapat satu hasil yang menyalahi hasil kajian para ulama lain sezaman dengannya, maka hendaklah kita melihat dengan teliti hujjah masing-masing untuk menentukan siapa yang lebih benar. Ini perlu dilakukan oleh mereka yang mampu membaca dan mengkaji terutama mereka yang menyambung pelajaran (b.a, master, phd) dalam bidang hadits. Jangan pula mereka meninggalkan metodologi kajian semata-mata kerana kagum atau hormat yang melampau terhadap al-Albani.

5- Sekiranya al-Albani menyalahi hasil kajian para ulama hadith terdahulu terutamanya di zaman kegemilangan kajian hadith iaitu di zaman kurun kedua, ketiga dan keempat hijrah (terutamanya ulama-ulama terulung seperti Ali Ibn al-Madini, Ahmad Ibn Hanbal, al-Bukhari, Muslim, al-Tirmidzi, al-Nasaai dan sebagainya), maka sudah pasti al-Albani tidak dapat menandingi kehebatan dan kesepakatan para ulama hadith di zaman itu. Diakui juga bahwa keadaan ini jarang berlaku namun ada dalam hasil kajian al-Albani. Bagaimana bisa al-Albani menyalahi pandangan mereka dalam keadaan mereka adalah ulama yang meriwayatkan beribu-ribu sanad malah beratus ribu sanad dan hadith?

6- Setiap pendapat al-Albani hendaklah dinilai mengikut pendapatnya yang paling terkini. Maksud saya, kita hendaklah memastikan adakah beliau menarik balik hasil kajiannya. Sampai saat ini, telah ada dua buku yang ditulis oleh pengkaji haditsuntuk membuktikan bahwa al-Albani telah mengubah hasil kaiiannya terhadap beberapa hadits dan jumlahnya mencapai ratusan hadits!. Oleh karena itu, anda perlu berhati-hati ketika menerima hasil kajian al-Albani, adakah ia hasil kajian lama atau hasil kajian yang telah diubah oleh beliau. Perubahan ini bukan menandakan al-Albani ‘bertentangan’ atau ‘bermain-main’ dengan kajian, tetapi ia menandakan bahwa al-Albani merupakan manusia biasa yang juga terkadang tersilap dalam kajian beliau.

7- Sikap sebahagian penyokong al-Albani yang memandang sinis atau remeh kepada pengkaji hadits lain zaman ini adalah sikap yang cukup memalukan dan tidak ilmiah. Pada faktanya, banyak pengkaji lain yang sehebat al-Albani malah mungkin lebih hebat daripada al-Albani daripada sudut-sudut yang berbeda. Ya, memang al-Albani lebih banyak penulisan dan kajian, namun terdapat banyak muhaddits dan pengkaji yang lebih kuat ingatan, lebih banyak bacaan dan kajiannya. Cuma mungkin mereka tidak banyak menulis dan tidak popular, itu saja. Ada pula yang menyatakan bahwa memang ada muhaddits lain, tetapi al-Albani lebih hebat. Pernyataan begini akan hanya menghalangi anda untuk membuat kajian ilmiah. Kerana perlu diingat, al-Albani terkadang (bukan selalu) menyalahi kajian ulama-ulama awal Islam di zaman seperti al-Bukhari, Ahmad Ibn Hanbal dan sebagainya. Adakah di sini kita juga boleh menggunakan hujah ‘al-Albani lebih hebat’?

8- Kepada mereka yang hanya membaca buku al-Albani, selalunya mereka akan menjadi orang-orang yang hanya mempercayai kajian al-Albani dan menyanjung beliau lebih daripada hakikat sebenarnya. Kepada mereka saya nasihatkan agar mereka mulai membaca tulisan dan hasil kajian orang lain agar dapat dibandingkan dengan hasil kajian al-Albani. Inilah satu-satunya cara untuk mereka kembali kepada sikap yang lebih adil dalam persoalan ini.

9- Bagi mereka yang membenci al-Albani tanpa sebab atau hanya dengan sebab ‘tidak tahu siapa gurunya dalam hadith’ atau ‘siapa al-Albani? Dia tak memiliki ijazah dalam hadits dan lain-lain lagi yang TIDAK ILMIAH, maka saya nasihatkan anda dengan hanya SATU nasihat – bacalah…bacalah dan bacalah buku-buku al-Albani dan bandingkanlah dengan kajian orang lain. Barulah selepas itu anda berhak membuat keputusan adakah al-Albani layak dipanggil muhaddits atau tidak. Tetapi sekiranya anda membenci al-Albani tanpa sebab dan dalam masa yang sama anda TIDAK pernah membaca atau menghabiskan walau satu buku karya al-Albani, lebih baik anda duduk diam-diam dan jangan ceburi bidang yang anda tidak dalami.

10- Namun secara umumnya, al-Albani pasti tidak akan dapat menandingi ulama-ulama hadith di zaman awal Islam jika dilihat daripada semua sudut. Hakikat ini perlu diakui agar kita tidak meletakkan al-Albani lebih tinggi daripada ulama terdahulu sehingga kita pastikan al-Albani mengesahkan pula semua kajian mereka seperti al-Bukhari, Muslim, al-Tirmidzi dan sebagainya! Ini mustahil karena mereka jauh lebih hebat daripada al-Albani atau siapa saja daripada kalangan pengkaji masa kini. Kembalilah membaca hasil kajian mereka di dalam buku-buku mereka (ulama silam) agar kita kenal dan tahu ketelitian mereka dan kelebihan mereka. Saya anjurkan para penuntut ilmu hadith (master, phd) agar sering membaca kajian ulama dalam buku-buku Ilal seperti Ilal al-Tirmidzi, Ibn Abi Hatim, al-Tarikh al-Kabir oleh al-Bukhari, al-Tamyiz oleh Muslim, Syarh Ilal oleh Ibn Rajab al-Hanbali dan sebagainya dan tidak hanya bergantung kepada buku-buku Mustolah Hadith terutama buku-buku yang dikarang oleh ulama terkemudian tanpa memperdulikan buku-buku ulama silam.

11- Kritikan yang dibuat terhadap kajian al-Albani tidak sama sekali akan menjatuhkan kedudukan al-Albani sebagai muhaddits bahkan kita boleh mengakui al-Albani sebagai salah seorang imam hadits masa kini. Kritikan ilmiah bertujuan untuk menilai hasil kajian dan tidak sama sekali menjatuhkan imej orang yang mengkaji. Ini perlu dihayati oleh pihak yang suka memandang serong atau terlalu sensitif apabila al-Albani ‘disentuh’ atau ‘dikritik’ tanpa membuat pembahagian antara kritikan ilmiah dan kritikan tidak ilmiah.

12- Di antara mereka yang mengkritik al-Albani dan beberapa kaedah pengkajian al-Albani adalah ulama-ulama masa kini yang hebat dalam bidang ini tetapi tidak begitu popular seperti Abdullah al-Sa’d, Dr. Ibrahim al-Laahim, Dr. Hatim al-Syarif, Dr. Hamzah al-Malibari, Sulaiman Ibn Nasir al-‘Ulwan dan sebagainya. Parapeminat kajian hadith boleh mendapatkan pandangan dan tulisan mereka untuk melihat ketelitian mereka dalam mengetengahkan manhaj ulama terdahulu atau dinamakan manhaj al-Mutaqaddimun. Boleh juga melayari laman web
http://www.ahlalhdeeth.com iaitu Multaqa Ahl Hadeeth bagi mendapatkan maklumat tentang kajian hadith terkini. Jangan pula anda sampai kepada tahap mengatakan bahwa kajian hadith terhenti pada al-Albani! Kajian hadits berlanjut dan banyak yang mampu untuk menilai kembali kajian al-Albani di bawah manhaj ulama terdahulu dan bukannya manhaj baru yang asing daripada manhaj al-Mutaqaddimun.

Semoga apa yang dinukilkan di sini menjadi petunjuk bagi mereka yang ingin mendalami bidang hadith. Ini penting agar hasil kajian kita tidak akan menjadi satu kajian yang meremehkan pula kajian ulama terdahulu. Inilah pendapat saya yang boleh dinilai untuk diterima atau ditolak. Wallahu a’lam.